Monday, January 2, 2017

PERUTUSAN TAHUN BARU SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN 2017 PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU

PERUTUSAN TAHUN BARU SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN 2017 
OLEH: PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih berupaya meneruskan khidmat bakti dan diberikan kekuatan untuk memulakan sesi persekolahan 2017 serta bersedia memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. 

Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat tahun baru kepada semua guru dan semua murid. Selamat kembali ke sekolah dan semoga kedatangan tahun 2017 memberikan erti yang lebih bermakna terutama peningkatan pencapaian dalam semua aspek. 

Guru-guru dan para murid yang dikasihi sekalian, marilah kita teguh membina azam dan menyemai tekad dengan lebih gigih bagi menghadapi tahun yang semakin mencabar ini. Seperti kita sedia maklum bahawa tahun 2017 merupakan tahun kedua kita meneruskan agenda transformasi pendidikan dalam gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) setelah kita berupaya menterjemahkan pelaksanaan gelombang pertama. 

Gelombang kedua ini, memerlukan kita lebih meningkatkan kesanggupan, kesungguhan dan kesiapsiagaan dengan bertindak lebih cepat dan tepat bagi mendepani cabaran-cabaran dan tuntutan pendidikan abad ke-21. Sebagai warga pendidik yang sentiasa komited dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah menjadi harapan saya agar kemajuan pendidikan Terengganu tidak terkeluar dari kerangka PPPM. 

Sebagai peneraju bidang pendidikan Terengganu, saya sentiasa bersamasama warga pendidik akan menghayati dasar transformasi kerajaan negeri iaitu Transformasi Terengganu Baharu (TTB) terutama prinsip yang ke-8 iaitu Memperkasakan Pendidikan. Apatah lagi prinsip ke-8 ini selari dengan gagasan pemikiran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu iaitu Memperkasakan Transformasi Pendidikan (MTP). 

MTP merupakan slogan yang merangkumi visi PPPM dan TTB yang memberikan fokus berkaitan. Pembelajaran dan Pengajaran yang berkualiti, mempunyai ciri-ciri Pembelajaran dan Pengajaran abad ke- 21 dan menepati standard 4 dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Warga pendidik dan semua murid Terengganu yang dikasihi, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Abad Ke-21 berkeperluan melahirkan murid yang proaktif tinggi, mahir dalam komunikasi, mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi serta mahir dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). 

Oleh yang demikian, semua guru Terengganu hendaklah bersedia melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tersebut. Hal ini kerana, guru-guru akan berdepan dengan murid-murid yang lebih terdedah pada maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber. Untuk itu, guru-guru memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi dengan menguasai enam (6) ciri utama iaitu: i. Mahir dan berketrampilan dalam pedagogi ii. Memahami perkembangan murid dan menyayangi mereka iii. 

Memahami psikologi pembelajaran iv. Memiliki kemahiran kaunseling v. Menggunakan teknologi terkini vi. Menguasai subjek iaitu kandungan kurikulum Semua guru yang dihormati, semua halangan dan cabaran mesti kita lalui dan tempuhi dengan penuh kesabaran kerana teras kejayaan kita adalah komitmen dan pengurusan yang efisyen. Semua pihak termasuklah sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu hendaklah membentuk satu pasukan yang mantap selari dengan konsep kepemimpinan yang ideal memantapkan organisasi. 

Insya-Allah jika usaha ini disepakati nescaya pencapaian pendidikan kita terus berganda. Sewajarnya, kita hendaklah peka bahawa pencapaian serta kejayaan yang diperoleh tidak mungkin direalisasikan tanpa usaha padu semua pihak yang tidak mengenal erti jemu dan penat lelah. Penghargaan dan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada kerajaan negeri Terengganu yang begitu komited dan sentiasa menyokong pelaksanaan program dan aktiviti pendidikan. 

Pada tahun 2017 ini, fokus utama kita melaksanakan perancangan strategik dengan lebih berkesan dan bersungguh-sungguh meningkatkan usaha merentas segala halangan, membina keyakinan dan kebertanggungjawaban yang tinggi serta memantapkan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. 

Marilah sama-sama kita berdoa dan berserah kepada Allah S.W.T. agar segala perancangan dan pelaksanaan tidak tergendala. Setiap kejayaan yang dicapai perlu diteruskan dan ditambah baik, kelemahan perlu dibaiki dan kegagalan perlu dikenal pasti punca dan dicari jalan penyelesaian. Akhir kata, saya mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2017 kepada semua warga pendidikan negeri Terengganu serta para murid yang dikasihi sekalian. Semoga tahun 2017 dapat memahat sejarah kejayaan yang lebih cemerlang serta mencapai matlamat. 

Selamat menjalankan tugas dan selamat maju jaya. 
Sekian, Wassalam dan terima kasih. 

HAJI SHAFRUDDIN BIN HAJI ALI HUSSIN, 
P.J.C., P.J.K Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu

No comments:

Post a Comment